Adab komunikasi di laman sosial yang disebut dalam Al-Quran.
Komunikasi adalah salah satu aspek paling penting dalam kehidupan manusia. Pada hari ini dengan teknologi yang amat pantas, teknologi maklumat berkembang pesat merentas jurang masa dan ruang fizikal.
Hari ini samada positif atau negatifnya sesuatu komunikasi di laman sosial, begitu pantas impaknya diterima oleh semua pihak.
Ada isu tentang kebenaran yang di utarakan, ada pihak berkongsi pula maklumat yang belum tentu kesahihannya dan ada pula berkomunikasi hingga hilang adab dan pertimbangan.
Walau apa juga sebab kita menggunakan media sosial, kita perlu memberikan perhatian kepada adab penggunaannya. Dalam hal ini, Islam telah memberikan prinsip-prinsip umum yang boleh diaplikasi sebagai adab khusus penggunaan media sosial.
Dalam bahagian akhir ayat 30, Surah al-Hajj, disebutkan supaya kita menjauhkan diri daripada perkataan yang dusta. Natijahnya di sini adalah dalam menggunakan media sosial, kita perlu memastikan bahawa hanya perkara yang benar sahaja disampaikan dan dikongsikan.
Dalam Surah Al-Nahl, ayat 125, ditekankan keperluan adanya kebijaksanaan dalam penyampaian maklumat, dan ini perlu disekalikan dalam bentuk nasihat yang baik dan perbahasan yang beradab berasaskan fakta yang jelas dan tepat.
Surah Al-Hujurat sarat dengan panduan yang amat relevan kepada pengguna media sosial. Ayat keenam memerintahkan supaya kita menyelidik dahulu berita yang diterima.
Ayat 11 mengingatkan kita supaya tidak mencemuh, merendah-rendahkan, menyatakan keaiban dan memanggil-manggil dengan gelaran yang buruk ke atas pihak lain, manakala Surah Al-Hujurat, ayat 12 pula menekankan supaya kita tidak bersangka buruk, mengintip, mencari kesalahan orang lain dan mengumpat.
Ada baiknya kita mengambil iktibar dari setiap perkara yang berlaku. Berkomunikasi dengan adab yang betul.

