"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat." An-Nur 24:27
Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang mukmin agar jangan sekali-kali memasuki rumah yang berpenghuni dan bukan rumahnya sendiri sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya terlebih dahulu. Meminta izin ini mestilah dilakukan sebanyak tiga kali. Apabila telah mendapat keizinan, barulah dibolehkan masuk. Namun apabila penghuni rumah tidak mengizinkan masuk maka hendaklah meninggalkan rumah tersebut.
Hukum ini bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari tentang Abu Musa Al-Asy’ari meminta izin untuk masuk ke rumah ‘Umar radhiallahu ‘anhu sebanyak tiga kali tetapi ‘Umar radhiallahu ‘anhu belum juga memberikan keizinan lalu beliau pulang. Ini kerana beliau telah mendengar Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Apabila salah seorang di antara kamu meminta izin sebanyak tiga kali, kemudian dia tidak diizinkan masuk, maka hendaknya dia pergi.”
(HR Al-Bukhari)
Selain itu, orang yang meminta izin untuk memasuki sesebuah rumah hendaklah tidak berdiri di hadapan muka pintu. Dia hendaklah berada di sebelah kiri atau kanan pintu tersebut.
Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada ‘Abdullah bin Busr, dia berkata, “Rasullullah bila telah sampai ke hadapan pintu rumah orang, baginda tidak menghadapkan wajahnya ke arah pintu. Baginda berdiri di sisi kanan atau kiri pintu sambil mengucapkan, “Assalamu’alaikum! Assalamu’alaikum!” Hal ini kerana pada masa itu rumah-rumah belum menggunakan langsir.”
(HR Abu Daud)
Perbuatan meminta izin terlebih dahulu ini menunjukkan akhlak yang mulia dan melindungi seseorang daripada terjerumus ke dalam dosa.
Wallahu a’lam.
Credit: Quran Daily

