Ketika ini, waktu yang amat mencabar bagi ramai orang. Dan kita seharusnya tetap memandang keliling untuk hulurkan bantuan semampu kita sendiri.
Dan menjaga adab bila menghulurkan bantuan atau sedekah adalah amat dituntut dalam Islam.
Adab-adab yang perlu dijaga.
1. Tangan di atas memberi lebih baik daripada tangan di bawah (menerima)
Keadaan ini bermaksud, lebih baik kita memberi sesuatu kepada mereka yang memerlukan bantuan daripada kita menerima.
2. Ikhlas dalam bersedekah
Wajib mengikhlaskan sedekah hanya kerana Allah dan demi mendapatkan keredhaan-Nya. Sedekah dengan menunjuk-nunjuk dan berbangga diri menyebabkan kerugian di Akhirat kelak. Jauhilah sifat Riya’.
3. Mendahulukan sedekah yang wajib
Wajib atas seorang Muslim, apabila ia harus mengeluarkan zakat yang wajib dan telah tiba waktunya, agar mendahulukannya daripada sedekah yang sunnah. Itulah hukum asalnya. Sebab, menunaikan sedekah yang wajib termasuk rukun Islam. Allah tidak akan menerima amalan-amalan yang sunnah hingga ia mengamalkan amalan wajib. Amalan yang disukai Allah untuk mendekatkan diri kepada-Nya adalah dengan menunaikan kewajibannya.
4. Bersedekah dengan harta yang halal
Niat sedekah sudah ada tapi hal penting yang anda perlu lakukan adalah dengan memastikan harta yang ingin disedekahkan itu halal kerana ia adalah antara sebab sedekah tersebut diterima oleh Allah dan membuahkan hasil.
5. Tidak mengungkit – ungkit sedekahnya
Sebagai mana firman Allah “Wahai orang – orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekah mu dengan menyebut-menyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)..” (Surah al-Baqarah 2: 264)
Orang yang bersedekah juga tidak seharusnya mengambil semula sedekah yang telah diberi kepada penerima. Jangan jadi seorang yang buruk siku kerana ia adalah antara sifat yang tidak disukai oleh Allah.

