Adab Dalam Kehidupan
ISLAM amat menekankan pendidikan adab di kalangan umat manusia kerana dengan adab, seseorang mukmin akan menjadi manusia yang tinggi akhlak dan keperibadian diri.
Islam menetapkan pelbagai adab seperti adab berguru, adab menjaga orang sakit, adab menziarah jenazah dan adab-adab dalam pergaulan seharian. Dengan setiap perbuatan yang berlandaskan adab dan akhlak yang baik maka seseorang itu dapat meraih kecintaan Allah SWT.
Kebaikan adab menunjukkan ketinggian budi dan akhlak seseorang mukmin. Apabila seseorang itu beradab baik, sudah pasti akhlaknya juga turut baik.
Justeru, adab bercakap, berbudi dan bermuamalah sesama manusia sangat penting dalam kehidupan. Bersifat timbang rasa ketika berhubung sesama manusia merupakan adab yang dituntut dalam agama.
Begitu juga dalam berbicara merupakan suatu budaya manusia yang melambangkan hati, sikap dan fikiran.
Oleh itu, peliharalah tingkah laku, lidah dan ikutilah adab yang baik semasa bercakap atau berhubung dengan mukmin yang lain sungguhpun barangkali mereka itu bukan orang yang dikenali.
Credit: ikimfm.my

