Berkesempatan dengan hari raya, maka sudah menjadi budaya orang Malaysia untuk ziarah menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan juga ada yang melakukan rumah terbuka tanpa mengira bangsa dan agama.
Ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni. Dalam kita sibuk menziarahi, Islam menerapkan beberapa adab yang perlu dipatuhi.
1. Ikhlaskan diri kerana Allah
Ini berdasarkan hadis baginda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan ini bermula dengan niat dan bagi setiap orang dengan apa yang diniatkannya”.
Maka dengan niat kerana Allah di dalam ziarah hubungan yang renggang akan pulih, kasih sayang yang pudar akan kembali bersinar dan sifat yang buruk akan bertukar menjadi baik. Ini kerana dengan keikhlasan diri maka bersama kehadiran kita itu akan menjemput rahmat Allah.
2. Meminta izin untuk hadir dan memberikan salam sebelum masuk ke rumah
Sebelum kunjungan dibuat, Islam meminta kita supaya meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah. Ini bagi mengelakkan kesulitan kepada tuan rumah untuk menyediakan sesuatu hidangan dan supaya tidak membebankan mereka daripada sudut waktu yang mungkin sudah mempunyai perancangan tersendiri.
3. Tidak sibuk dengan barangan perhiasan rumah tuan rumah
Kita tidak dibenarkan untuk memasuki urusan orang lain kecuali apabila diminta sendiri oleh mereka. Sudah menjadi penyakit bagi sesetengah orang untuk bertanya barangan yang terdapat di dalam rumah tuan rumah.
4. Menjaga mata
Tidak melihat secara liar dengan mengintai dapur ataupun bilik tidur supaya tidak tersingkap aurat tuan rumah yang berkemungkinan tidak sempurna.
5. Duduk hanya ditempat yang telah dikhaskan
Duduk hanya apabila diizinkan dan duduk di tempat duduk yang dikhaskan kepada tetamu. Janganlah sesuka hati berpindah ke bahagian lain dengan sengaja sekiranya tidak diizinkan.
6. Menjaga anak yang dibawa
Jika kita datang bersama dengan anak-anak kecil, pastikan mereka tidak mengotor atau memecahkan barangan tuan rumah. Jika berlaku di hadapan mata kita, maka hendaklah kita menasihati anak kecil agar tidak berbuat demikian. Berpesan kepada anak-anak sebelum melangkah masuk ke kediaman tuan rumah adalah dianjurkan supaya mereka dapat menjaga kelakuan.
7. Membawa buah tangan
Ini bukanlah satu kemestian tetapi atas tanda penghargaan, maka bolehlah membawa sedikit buah tangan ataupun memberi duit raya kepada kanak-kanak.
8. Tidak berlama-lamaan
Kita mestilah mengetahui ziarah bermaksud sebentar sahaja dan bukanlah sehingga menyulitkan tuan rumah untuk menyediakan makan pagi, tengah hari, petang dan malam untuk kita.
9. Mengucapkan syukur dan terima kasih
Ucaplah terima kasih dengan senyuman yang manis kepada tuan rumah yang sanggup menerima kita sebagai tetamu. Sabda baginda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak dianggap bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur kepada manusia” – [Abu Daud:4177]
Semoga raya tahun ini lebih bermakna apabila kita dapat saling berkunjung dan maaf-memaafkan sesama umat Islam.
Sumber: usim.edu.my

