Amalan berpakaian yang kemas adalah penting untuk merealisasikan hasrat organisasi untuk menjadikan warga kerja sebagai penjawat awam yang berimej unggul dan professional pada setiap masa.
Apatah lagi sekiranya warga kerja yang sering berurusan dengan pelbagai kumpulan pelanggan dan agensi luar. Oleh yang demikian, keperluan mewujudkan budaya profesional termasuklah imej penampilan diri warga kerja amat penting untuk mencerminkan kredibiliti organisasi.
Penampilan secara profesional ketika bertugas di dalam atau luar pejabat tidak dinafikan akan memberikan persepsi positif pelanggan terhadap tahap penyampaian perkhidmatan organisasi tersebut.
Keterampilan diri, kemahiran berkomunikasi, jalinan perhubungan, adab di meja makan, tatacara menghadiri majlis rasmi dan tidak rasmi adalah antara perkara-perkara yang berkaitan dengan etiket dan imej profesional. Di dalam dunia pekerjaan hari ini, setiap individu perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan etika bukan sahaja untuk kelihatan hebat tetapi juga untuk menjadi individu yang dihormati dan disenangi dengan personaliti yang profesional.









